Kedah mencatatkan kemenangan sulung di laman sendiri, musim ini apabila menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Darul Aman pada aksi pusingan kedua Piala FA, malam tadi. Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar muncul wira pasukannya apabila meledak jaringan tunggal pada minit ke-119 selepas Negeri Sembilan mengheret permainan ke masa tambahan. Berpunca daripada hantaran bijak pemain gantian Syazwan Zainon ke tengah kawasan penalti pelawat, Baddrol bijak meloloskan diri untuk menewaskan penjaga gawang Negeri Sembilan, Ilham Amirullah.