BRM janji buat JDT berpeluh. Bagai langit dengan bumi! Itu perumpamaan yang diberikan peminat terhadap aksi Piala FA antara gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT) dan wakil dari Liga M3, Budak Rumah Murah (BRM) FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini. Apa tidaknya, semua mengetahui sejauh mana kehebatan dimiliki JDT selaku juara Liga Super lapan kali berturut-turut dan mewakili Malaysia di Liga Juara-Juara Asia (ACL) jika dibandingkan dengan BRM yang hanya kelab berstatus amatur dari Kuala Kangsar, Perak itu. Justeru, tidak hairan mengapa semua pihak menganggap Harimau Selatan tidak berdepan sebarang masalah untuk mara ke peringkat seterusnya dan berkemungkinan menyenaraikan skuad kedua untuk perlawanan itu. Atas kertas, mustahil untuk BRM mencipta kejutan dan menyingkirkan JDT dari Piala FA walaupun mereka turut memiliki beberapa bekas pemain Liga Super termasuk Azmeer Yusoff, Fitri Omar serta Ahmad Fakri Saarani. Namun, apa yang bermain di fikiran pemain BRM ketika ini pastinya mahu mengelak daripada tewas dengan jaringan besar dan mengambil pengalaman berharga berdepan skuad bintang Harimau Selatan. Azmeer yang juga kapten BRM menjelaskan, pasukannya tidak boleh terlalu menghormati JDT walaupun status 'gergasi' yang dipegang skuad kendalian Benjamin Mora itu. Sebaliknya, bekas pemain Kedah itu meminta rakan sepasukan memberikan saingan sengit dan sekurang-kurangnya tidak memberi tugas mudah untuk JDT meraih kemenangan. "Persediaan pasukan bagus dan tiada di luar kebiasaan. Cuma dengan JDT ini kita hanya menikmati perlawanan kerana semua tahu dari segi segala aspek, memang kita nampak jurang besar. Artikel dipetik daripada akhbar official BH online. Penulis ➡️ Zulfaizan mansor ✍️ #JDTFC #BRMFC